Friday, October 2, 2009

PROTON OK IN UK

This news is an interesting story for PROTON, recently we decided to get Proton Persona, and really after our last Proton which was the original SAGA with the registration BCG 2020, which serve us well. I must try to locate a photo for that car.



Jualan Proton UK lepasi sasaran
Daripada NIZAM YATIMnizam.yatim@utusan.com.my

NORWICH, United Kingdom 1 Okt. - Utusan Malaysia

Jualan kereta Proton di United Kingdom sudah berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan untuk tempoh setahun di sebalik berlakunya penurunan permintaan di negara itu. Jumlah jualan itu kini 10 peratus lebih tinggi berbanding sasaran sebanyak 1,000 buah. Pengarah Urusan Proton Cars (UK) Ltd., Brian Collier berkata, peningkatan jualan itu disumbangkan oleh minat penduduk untuk menggunakan kenderaan yang dijana oleh gas petroleum cecair (LPG) kerana bahan apinya lebih murah sebanyak 50 peratus berbanding petrol.

''Proton merupakan satu-satunya syarikat di negara ini yang memasang tangki LPG pada kenderaan secara terus di kilang dan kemudian menjualnya pada harga sama dengan model yang menggunakan petrol. ''Sehingga kini, Proton telah menjual 600 kenderaan menggunakan LPG termasuk jualan pada tahun ini sebanyak 200 buah yang kebanyakan pembeli terdiri daripada kalangan syarikat kecil, pengusaha teksi dan polis," katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, pengguna tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan LPG kerana setiap satu daripada empat stesen minyak di UK menyediakan bahan api itu. Kini terdapat kira-kira 6,000 stesen minyak di negara itu. Kata beliau, faktor lain yang menyebabkan peningkatan jualan adalah kesetiaan pelanggan yang memilih kenderaan keluaran Proton apabila menukar kereta baru.

''Proton kini mempunyai 80 pengedar di UK dan setiap enam orang daripada 10 pelanggan yang telah membeli kenderaan daripada pengedar terbabit akan kembali memilih jenama berkenaan," ujarnya. Sementara itu, kata beliau, sejak tahun 1989, Proton telah menjual 150,000 buah kenderaan di UK dan model terkini yang ditawarkan ialah GEN.2, Persona, GEN.2 Ecologic (bagi versi LPG), Satria Neo and Savvy.

''Model paling laris ialah Savvy yang merupakan 40 peratus daripada keseluruhan jualan. Pada tahun ini sahaja kita menjangkakan akan menjual 400 buah model ini sahaja," katanya. Sementara itu, kata beliau, jumlah keseluruhan jualan kenderaan melibatkan semua syarikat di UK pada tahun 2007 adalah sebanyak 2.4 juta buah tetapi bilangan itu dijangka menurun kepada hanya 1.7 juta pada tahun ini.

''Penurunan ini disebabkan oleh pengguna mahu mengurangkan kos berikutan kegawatan ekonomi dan cadangan kerajaan untuk meningkatkan kadar cukai jalan kenderaan sebanyak sekali ganda pada tahun 2010," katanya.
Mengenai sasaran jualan Proton di UK pada tahun 2010, Collier berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan lagi, tetapi beliau berpendapat sasaran 1,000 unit adalah munasabah.

No comments: